Hari itu tenang sahaja. Saya masih ingat, ketika itu adalah sekitar bulan September tahun 2009. Tahun di mana saya pertama kali menjadi penulis buku. Buku saya dan novel saya yang pertama terbit pada tahun itu, bulan April, di Kuala Lumpur International Book Fair. Novel VT dan Buku Motivasi LangitIlahi: Tuhan Tidak Lupakan Kita. Saya ketika siang hari itu, telah mendapat SMS daripada Ibu perempuan yang saya cintai, bahawa dia akan menghubungi saya pada petangnya, waktu Jordan.
Semasa dalam perjalanan pulang dari kelas, saya berbicara dengan sahabat serumah saya:
“Mak perempuan yang aku cinta, nak call aku malam ni.”
Kawan saya itu bergurau: “Alah, mak dia aja yang minat dekat engkau. Anak dia tu nanti reject kau!”
“Hish, janganlah cakap macam itu.” Saya menyiku sahabat saya.
Kami ketawa.
Panggilan Itu Adalah Panggilan Duka.
Apabila hendak berbicara dengan Si Ibu pada petang itu, rumah saya sedang sibuk menguruskan makanan untuk program hari raya aidilfitri pelajar Malaysia di Jordan. Kami buat program hari raya lambat sedikit. Sudah hampir berakhir syawal, baru buat. Saya duduk di dalam bilik, tidak mahu menganggu rakan-rakan di ruang tamu yang sedang bertungkur lumus membungkus makanan.
Saya tidak pernah berhubung dengan perempuan yang saya cintai sebelum itu. Saya hanya berhubung dengan Ibunya. Itu membuatkan hubungan saya dengan Ibunya rapat. Walaupun banyaknya, kami tidak bercakap perihal anaknya pun. Saya pun segan nak tanya-tanya. Sudah cakap suka sekali, sudahlah kan.
Tetapi sembang pada petang itu rasa aneh. Si Ibu ada nada serba salah.
Sebelum itu, surat dari Malaysia baru sampai. Surat yang dikarang oleh Si Ibu. Menyatakan bahawa, dia ingin nak bertanya kepada anaknya akan saya. Saya tidak sempat nak karang surat baru, untuk menyatakan tidak perlu. Saya risau. Umur perempuan yang saya cintai itu masih muda. Tetapi belum sempat mengarang surat baru, Si Ibu sudah menghubungi saya.
Dan semasa sembang-sembang itu, sampailah kepada ‘tujuan sebenar menghubungi’ saya pada hari itu. Rupa-rupanya, Si Ibu sudah bertanya kepada anaknya.
“Dia kata, dia tak mahu Hilal jadi suaminya.”
Saya diam banyak selepas itu. Si Ibu yang berbicara panjang, menenangkan saya. Saya mendengar sahaja, dan kadangkala saya kata: “Tidak mengapa. Ok sahaja. Makcik jangan risau.”
Sembang-sembang itu berakhir dengan Si Ibu itu mendoakan saya. Saya diam sahaja. Masa itu, katil saya di tepi tingkap. Saya cuba melirik langit petang. Jiwa saya rasa seperti sedang ditebuk-tebuk.
Sakit.
Ketika itu, rakan serumah saya yang bergurau siang hari tadi masuk ke dalam bilik.
“Ha, macam mana? Bila kahwin?” Dia menyakat.
Saya memandangnya. “Kena reject la.”
Kawan saya ketawa. “Janganlah gurau. Macam mana?”
Saya tersengih kelat sahaja masa itu. Geleng. “Tak tipu. Kena reject.”
Masa saya lihat wajah sahabat saya, saya dapat lihat dia serba salah.
“Eh, sorry weh.”
“Tak ada apa-apa.”
Dan saya keluar bilik, membantu rakan-rakan menguruskan makanan. Ketika itu, rakan-rakan semua jadi tahu saya kena reject. Yang buat saya terharu, semua cuba menenangkan di saya.
“Bunga bukan sekuntum Lal.” Senior saya yang turut membungkus makanan menenangkan.
Saya hanya mampu diam dan tersenyum. Buat-buat ketawa sekali-sekala.
Jiwa saya? Sakit.
Menghadapi Perasaan Itu.
Saya seperti tidak mampu hidup. Ya. Saya merasai perasaan sedemikian.
“Seperti mayat hidup.” Itulah yang saya sering ulang kepada diri saya.
Saya yang merupakan AJK Majlis Hari Raya ketika itu, melalui majlis itu dengan wajah yang sebentar ceria(kala orang ramai memandang), tetapi bila saya duduk sendiri, saya termenung panjang hingga disedarkan sesiapa.
Saya seperti tidak nampak masa hadapan beberapa hari selepas itu.
“Habis, aku nak kahwin dengan siapa? Takkan bujang sampai tua?” Pernah keluar daripada mulut saya.
Sehari dua itu, yang berdendang dalam komputer saya adalah lagu-lagu sedih. Saya pernah nak happykan diri saya dengan tengok drama Jepun, tetapi drama Jepun itu pun ada ceritakan yang watak lelakinya kena tolak. Saya masih ingat saya menangis bila tengok drama itu.
Bila saya tidur, saya sentiasa berharap agar saat saya bangun, semua yang saya hadapi adalah mimpi.
Lemah. Perit. Sakit.
Jiwa rasa terseksa. Seakan-akan tersepit.
Untuk beberapa hari, begitulah yang diri ini rasakan.
Tetapi untungnya diri ini, adalah apabila mengikuti tarbiyah.
Saya adalah yang mengikuti usrah. Bahkan, saya sendiri ada menguruskan beberapa usrah.
Beberapa hari selepas direject, usrah mingguan saya berjalan. Saya mengadukan masalah saya kepada sahabat seusrah.
“Kadangkala, benda-benda macam ini jadi sebab Allah mahu kita tingkatkan diri kita lebih lagi.”
Ya. Begitulah sahabat saya sebut kepada saya. Mengetuk jiwa saya. Membuatkan kabut gelap dalam diri sebelum itu, seakan pecah sebentar untuk memberikan saya peluang melihat cahaya.
Tingkatkan diri lagi.
“Kadangkala, benda macam ini, perlukan masa Hilal. Kena ingat balik, kenapa bercinta.” Seorang lagi sahabat mengingatkan.
Perlu ingat balik kenapa bercinta. Ya. Ketika itu saya mula teringat apakah makna cinta pada saya. Cinta, adalah ingin bersamanya ke syurga. Jadi, mustahil peribadi seorang yang hendak ke syurga, selemah ini?
Bila putus cinta, mahu merasa seperti hendak mati. Seakan tidak bermakna hidup.
Apakah itu peribadi manusia yang hendak membawa seseorang ke syurga?
Selepas itu saya tersedar.
Dan bangkit.
Bukan Mudah. Tetapi Bukan Mustahil. Dunia Belum Berakhir.
Bukan mudah. Benar.
Tetapi perlu diingat, bukan mustahil.
Memang ada masa, mengalir juga air mata ini bila terkenangkan diri ditolak. Tetapi sebagai seorang lelaki yang berhajat ke syurga Allah SWT, yang memegang makna cinta yang luar biasa, saya perlu kuat untuk memecahkan paradigma cinta yang biasa dijaja.
Putus cinta kelar tangan. Putus cinta jadi orang jahat. Putus cinta terjun bangunan. Putus cinta pergi serang orang yang tolak. Putus cinta hidup jadi celaru. Dan sebagainya, yang dijaja oleh dunia hari ini, yang mewarnakan wajah cinta. Saya, perlu membuktikan bahawa cinta bukan sedemikian!
Jadi, ‘bersamanya ke syurga’ bukan bererti saya dan dia jadi suami isteri untuk ke syurga. Tidak semestinya. Asalkan dia dan saya berada di dalam syurga, itu maksudnya. Jadi, tugas saya yang sudah di’reject’, adalah meneruskan kehidupan dengan baik dan tidak pula menganggunya.
Maka saya teruskan kehidupan. Saya luaskan pandangan saya terhadap dunia.
Ya, saya kena reject. Tapi saya masih ada sahabat-sahabat serumah, rakan-rakan usrah, senior dan junior, Ummi Abah dan adik beradik, serta dunia penulisan saya. Bahkan, saya masih ada Allah SWT untuk saya abdikan diri, saya masih ada tanggungjawab dakwah untuk diteruskan lagi. Di situlah saya fokuskan kehidupan saya.
Meluaskan pandangan terhadap kehidupan. Satu perkara yang penting, crucial, apabila cinta ditolak atau putus cinta. Mengelakkan kita dari melakukan perkara-perkara yang bodoh, menghalang kita dari tidak bersemangat dan sebagainya.
Bukan tidak boleh bersedih, menangis, merasa hiba. Silakan. Saya juga demikian.
Tetapi jangan lupa, tujuan hidup kita di atas muka bumi ini bukan untuk ‘mendapatkan seorang lelaki/perempuan’. Tetapi adalah untuk mengabdikan diri di atas muka bumi ini.
Jadi, cinta yang sebenar, jika kita benar mencintai seseorang itu, maka bila dia reject kita, kita doakan kebahagiaan buatnya. Dan kita teruskan kehidupan kita, dengan tidak lagi menganggu kehidupannya.
Itu yang sepatutnya kita lakukan!
Maka, pandanglah peluang dan ruang yang masih ada dalam kehidupan.
Palingkanlah wajah kita kepada Allah. Mungkin putus cinta, cinta ditolak, adalah panggilanNya untuk kita lebih merapat kepadaNya, membersihkan diri dan menjadi hambaNya yang lebih baik lagi.
“Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu.” Surah Asy-Syu’ara ayat 30.
Mungkin kita kena reject kerana dosa kita. Kerana akhlak kita yang masih tidak baik di sisi Allah. Menyebabkan Allah tangguhkan dahulu kebaikan buat kita. Dia mahu mengampunkan dosa-dosa kita, dengan menguji kita, agar kita bergerak ke arah perubahan. Ya, siapa tahu?
Positif. Bersangka baik kepada Allah!
Penutup: Dan Tiga Bulan Berlalu.
Selepas itu, walaupun saya kadangkala teringat akan perempuan yang saya cinta, tetapi alhamdulillah, saya melalui kehidupan dengan baik. Tidak tension. Tidak lemah. Bahkan tahun itu adalah antara saat yang saya mendapat keputusan peperiksaan terbaik sepanjang saya berada di universiti. Saya sibukkan diri saya dengan menghasilkan karya demi karya, buku demi buku. Saya juga menyibukkan diri saya dengan merapati junior-junior yang baru datang ke Jordan ketika itu.
Dan alhamdulillah apabila direject, saya dapat menyelami perasaan orang lain yang direject, lantas dapat membantu mereka. Itu antara hikmah mengapa Allah beri saya rasa direject.
Tiga bulan berjalan selepas itu. Saya direject sekitar September 2009. Pada 16 Januari 2010, bertepatan dengan tarikh lahir saya yang ke-21, saya keluar dengan junior-junior untuk meraikan hari lahir saya. Saya rasa sangat bahagia, dan tenang. Saya tidak lagi memikul beban merasa ‘ditolak’, bahkan sampai satu tahap saya rasa bersyukur ‘ditolak’.
Malam itu, selepas makan-makan di luar, adik-adik semangat mahu menonton ‘Ketika Cinta Bertasbih 2’, dan kebetulan, ada di dalam komputer saya. Saya mengajak mereka bermalam di rumah saya ketika itu. Kami sama-sama menonton kisah itu. Sibuk adik-adik memuji kecantikan pelakon-pelakonnya, sambil saya asyik tergeletek dengan ulah mereka.
Tiba-tiba, telefon saya berbunyi. Ada panggilan dari Malaysia. Malaysia ketika itu sudah siang, berbeza dengan Jordan yang menjengah pagi buta.
Ibu perempuan yang saya cinta, membuat panggilan.
Saya masih baik dengannya. Masih bertukar khabar. Begitu juga dengan adik beradik perempuan yang saya cinta. Saya masih kekal bersahabat dengan mereka. Bukan berniat hendak mendapatkan semula perempuan yang saya cinta, tetapi itulah dia ‘code’ saya. Cinta kepada perempuan itu, satu hal. Manakala hubungan dengan keluarganya, satu hal lain. Saya tidak campurkannya. Bukannya saya membina hubungan baik dengan mereka untuk dapatkan perempuan itu. Hubungan yang baik adalah untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT.
Mengangkat panggilan itu, Si Ibu mengucapkan Selamat Hari Lahir. Saya jangka, itulah tujuan panggilannya. Kemudian, Si Ibu berkata:
“Hilal, makcik ada hadiah ni.”
“Iya? Hadiah apa makcik?”
“Anak makcik dah terima Hilal.”
“Ha? Yak ke ni Makcik?”
“Iya. Dia sendiri yang cakap.”
Dan selepas itu, saya terus sujud syukur, dan meluru ke bilik, berkongsi gembira dengan junior-junior.
“Ini berkat kami la ni Abang Hilal.” Salah seorang menyakat.
Tetapi saya sendiri tidak tahu, bahawa penerimaan itu, adalah pembuka kepada ujian-ujian yang baru. Kita akan sambung dalam lembaran-lembaran yang lain, berkenaan hal ini.
Apa yang penting, luaskan pandangan.
Putus cinta, ditolak, bukan pengakhir kepada kehidupan.
Lepaskan terus, bila telah putus dan ditolak. Usah difikir lagi. Teruskan kehidupan.
Kita akan nampak, luasnya rahmat Tuhan.
“Allah berfirman: AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya(rahmat itu) bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” Surah Al-A’raf ayat 156.
Maka apabila diuji, fokuskan untuk melakukan banyak kebaikan di dalam hidup, agar rahmat Allah yang luas itu, ‘menyentuh’ kita. Mungkin kita diterima semula, mungkin dapat yang lebih baik, mungkin jadi lebih bahagia, mungkin jadi lebih berjaya, dan sebagainya. Siapa tahu?
Yang penting, percaya kepadaNya, kembali kepadaNya.
Dia Maha Tahu, dan kita hanya berusaha!
Sumber artikel daripada penulisan kehidupan Hilal Asyraf(Official) :
http://langitilahi.com/15848/
Search